Pages

Tuesday, January 3, 2012

Polis siar imej penyerang Hollywood

  DERETAN kenderaan penghuni Hollywood Hills terbakar angkara lelaki misteri menjelang sambutan Tahun Baru 2012.
DERETAN kenderaan penghuni Hollywood Hills terbakar angkara lelaki misteri menjelang sambutan Tahun Baru 2012.
Kelibat lelaki berusia lewat 20-an dan berambut gelap dirakam kamera litar tertutup

LOS ANGELES: Polis Los Angeles semalam menyiarkan imej daripada kamera keselamatan membabitkan seorang lelaki disyaki terbabit dalam siri serangan kebakaran di Hollywood menjelang sambutan Tahun Baru.

Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) turut meminta penduduk memastikan garaj dan tempat meletak kereta mereka dipasang lampu sepanjang malam, selepas kira-kira 40 kebakaran dilakukan sepanjang tiga malam lalu termasuk pada malam Tahun Baru.
Suspek dirakamkan pada kamera selepas kebakaran di sebuah lot meletak kenderaan berhampiran kawasan tarikan pelancong utama Hollywood, dipercayai berusia lewat 20-an atau awal 30-an, berambut gelap dan mengikatnya, kata polis.
Penyiasat persendirian dipanggil untuk membantu LAPD dan Jabatan Bomba Los Angeles bagi menyiasat siri serangan kebakaran itu, satu daripada yang terburuk di bandaraya itu sejak rusuhan perkauman pada 1992.

“Sebanyak tujuh kebakaran baru dilaporkan pada malam menjelang Tahun Baru termasuk satu membabitkan sebuah tempat meletak kereta bawah tanah berhampiran kawasan itu,” kata seorang jurucakap LAPD.

Video amatur yang disiarkan akhbar LA Times merakamkan kebakaran di tempat letak kereta bawah tanah Hollywood dan Hingland, berhampiran Chinese Theatre, Grauman di mana ia menjadi tarikan pelancong untuk melihat tapak tangan selebriti dan bintang Walk of Fames.

Video dan imej kamera disiarkan pada malam kelmarin menunjukkan suspek berpakaian gelap, keluar dari tempat meletak kereta.
“Saksi dan rakaman video lain menunjukkan lelaki terbabit berada di beberapa lokasi di mana kebakaran berlaku,” kata Komander Polis Los Angeles, Mike Moriarty, yang percaya bahawa ada sekurang-kurangnya dua pelaku yang melakukan kebakaran itu.

Seorang daripada suspek sudah ditahan, kata polis. Samuel Arrington, 22, didakwa memulakan tiga kebakaran pada Khamis.

Tetapi beliau berada dalam tahanan ketika kebakaran baru berlaku pada Sabtu dan Jumaat.

Lebih 30 kebakaran bermula pada malam Khamis dan Jumaat, kebanyakan mensasarkan kenderaan sama ada di luar rumah atau di tempat meletak kenderaan di bawah bangunan.

Tiada kecederaan serius dilaporkan setakat ini.

Harta benda yang musnah dilaporkan termasuk sebuah rumah di Hollywood Hills milik penyanyi Jim Morrison, yang pernah tinggal di situ dan beliau menulis jenama lagenda ‘Love Street.’

Komander LAPD, Andrew Smith menggesa penduduk supaya menyalakan tempat meletak kenderaan dan garaj kereta mereka pada waktu malam dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu polis menangkap penjenayah yang bertanggungjawab. – AFP
Berita Harian Online | Polis siar imej penyerang Hollywood:

'via Blog this'

Ikhwanul Muslimin tak iktiraf Israel

DUA wanita berjalan berhampiran tulisan slogan pilihan raya bagi Parti Kebebasan dan Keadilan Ikhwanul Muslimin di timur laut Kaherah, semalam.
DUA wanita berjalan berhampiran tulisan slogan pilihan raya bagi Parti Kebebasan dan Keadilan Ikhwanul Muslimin di timur laut Kaherah, semalam.
Cadang bawa perjanjian damai Israel, Mesir kepada satu pungutan suara

KAHERAH: Ikhwanul Muslimin mengesahkan pihaknya tidak akan mengiktiraf Israel di bawah sebarang keadaan, tindakan untuk membatalkan perjanjian damai yang boleh mewakili peluang strategik bagi MB ketika mereka cuba mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Ikhwanul Muslimin yang menang besar dalam pilihan raya pertama bagi Parlimen Mesir, mengumumkan bahawa ia tidak akan mengiktiraf Israel dan bercadang untuk membawa perjanjian damai Israel, Mesir kepada satu pungutan suara.
“Kami tidak akan mengiktiraf Israel dalam apa juga keadaan, kami bercakap mengenai perjanjian penjajahan dan musuh jenayah,” kata Timbalan Ketua Ikhwanul Muslimin Dr Rashad Bayoumi.
Penyokong Parti Keadilan dan Kebebasan Ikhwanul Muslimin Mesir menyertai satu perarakan dalam menyokong lawatan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, ke Kaherah pada 26 Disember lalu.

“Tiada syarat terhadap pengiktirafan Israel. Ini bukan satu pilihan, tetapi apa juga keadaannya kami tidak akan mengiktiraf Israel langsung, Israel adalah musuh, penjajah dan satu entiti jenayah,” kata Bayoumi dilaporkan memberitahu akhbar Al-Hayat yang berpejabat di London.

Kenyataan ini adalah bertentangan dengan laporan sebelumnya oleh diplomat Barat, yang menyatakan bahawa pemimpin pergerakan itu memberitahu mereka bahawa Ikhwan Muslimin tidak akan membahayakan hubungan Mesir dengan Israel.

Namun, Bayoumi menolak sebarang kemungkinan bahawa beliau dan mana-mana ahli pergerakannya akan bersetuju untuk bertemu dengan Israel. Beliau berkata bahawa Ikhwanul Muslimin akan menangguhkan sebarang perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Mesir ketika tempoh ‘sementara’ itu, tetapi menambah bahawa sebaik saja kerajaan baru dilantik, perjanjian damai dengan Israel tidak akan diteruskan semula dan penduduk diminta memutuskannya.
“Ikhwanul Muslimin dipanggil untuk menghormati perjanjian antarabangsa tetapi kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap perjanjian damai dengan entiti Zionis. Ia adalah hak bagi mana-mana parti untuk mempertimbangkan semula perjanjian itu dan penduduk Mesir tidak akan meluahkan pandangan mereka mengenainya. Kami tidak pernah meluluskan keamanan dan kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara ini,” katanya. – Agensi
Berita Harian Online | Ikhwanul Muslimin tak iktiraf Israel:

'via Blog this'

Pengawal sempadan Iran ditahan di Pakistan

QUETTA, Pakistan: Pakistan menahan tiga pengawal sempadan Iran selepas mereka didakwa menyeberangi sempadan dan menembak sebuah kereta, menyebabkan kematian seorang rakyat Pakistan.

Menurut pihak berkuasa Baluchistan, pengawal sempadan Iran terbabit sampai di Mazan Sar Mashkail di daerah Washuk, tiga kilometer dalam Pakistan di mana mereka melepaskan tembakan ke atas sebuah kenderaan yang mereka kejar.
“Ketiga-tiga anggota keselamatan sempadan Iran itu ditahan kerana memasuki Pakisan dan membunuh seorang rakyat Pakistan di negara kami," kata Saeed Ahmad Jamali, Timbalan Pesuruhjaya Daerah Washuk.
Seorang rakyat Pakistan terbunuh manakala saudara lelaki beliau cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian itu.
Berita Harian Online | Pengawal sempadan Iran ditahan di Pakistan:

'via Blog this'

Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang

Berita Harian Online | Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang: GEORGETOWN: Tangisan kanak-kanak perempuan yang berlarutan lebih 10 jam di rumah di Jalan Perak, di sini, awal pagi tadi, mengejutkan seorang jiran yang bertindak menghubungi polis.

Jiran berkenaan yang enggan dikenali berkata, beliau mendengar kanak-kanak itu menangis dan sesekali meminta tolong sejak jam 3 petang semalam hingga 1 pagi tadi.
"Saya menghubungi polis pagi tadi selepas mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan masih menangis," katanya ketika ditemui di sini.
Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berkenaan.

Katanya, polis mengambil masa lebih setengah jam untuk masuk ke rumah berkenaan kerana ia berkunci.

"Selepas mendapat bantuan daripada jiran, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dalam keadaan takut dan trauma itu kerana ditinggalkan seorang diri," katanya.

Jurucakap polis itu berkata, beberapa jiran menyedari bapa kanak-kanak itu pulang ke kawasan perumahan berkenaan tetapi lelaki terbabit melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.
Katanya, hasil maklumat jiran, polis cuba menghubungi anggota keluarga kanak-kanak malang itu tetapi gagal.

"Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya," katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak malang itu didera dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, polis juga sedang mengesan bapa kanak-kanak itu yang berumur lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Pada 29 Disember lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Raja Uda, Butterworth. - BERNAMA

'via Blog this'

Gempa bumi 5.3 magnitud gegar utara Indonesia

Berita Harian Online | Gempa bumi 5.3 magnitud gegar utara Indonesia: JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.3 magnitud menggegarkan utara Indonesia, hari ini, kata ahli geologi.

Namun, tiada amaran tsunami atau kerosakan dilaporkan.
Gempa berlaku di kedalaman satu kilometer (km) kira-kira 160km dari tenggara Banda Aceh, Kepulauan Sumatera, Indonesia pada jam 2.09 pagi (3.09 pagi waktu Malaysia), lapor Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

'via Blog this'

Iran berjaya uji peluru berpandu

Berita Harian Online | Iran berjaya uji peluru berpandu: TEHRAN: Iran berjaya menguji peluru berpandu permukaan ke kapal Ghader pada hari terakhir latihan perang tentera laut berhampiran Selat Hormuz, menurut laporan agensi berita IRNA.

“Peluru berpandu yang dibina pakar Iran berjaya mengena sasaran dan memusnahkannya," kata Laksamana Mahmoud Mousavi.
Beliau berkata, ini adalah kali pertama peluru berpandu Ghader diuji. - AFP

'via Blog this'

20 kes barah disahkan akibat implan

Berita Harian Online | 20 kes barah disahkan akibat implan:




2012/01/02

PARIS: Pihak berkuasa kesihatan Perancis mengesahkan bahawa mereka menemui sekurang-kurangnya 20 kes barah di kalangan wanita yang menjalani pembedahan implan buah dada menggunakan satu jenama dari negara itu sendiri.

Sehingga Selasa, sebanyak tiga kes lumphoma, 15 kes adenocarcinoma, kanser payu dara, satu kes membabitkan adenocarcinoma paru-paru dan satu kes acute myeloid leukimia,” lapor Xinhua yang memetik agensi keselamatan produk kesihatan Perancis (AFSSAPS).
Ia menyebut dalam rujukan terhadap implan yang dihasilkan oleh syarikat Poly Implant Prothese (PIP).
“Bagaimanapun, tiada jumlah sebenar didedahkan sehingga kini membabitkan kanser ini dan pemakaian implan PIP,” kata agensi terbabit.

Kementerian Kesihatan Perancis minggu lalu menasihat sejumlah 30,000 wanita supaya melakukan pembedahan membuang implan PIP mereka. Ia berikutan risiko meningkat mengenai kemungkinan pecah bagi mengelak risiko kanser walaupun belum ada bukti kukuh bahawa pemakaiannya dikaitkan dengan penyakit berkenaan.

Cadangan itu dibuat selepas lapan kes, terutama kanser payu dara dilaporkan di kalangan pengguna implan PIP.

Pihak berkuasa di negara lain juga menasihati wanita untuk mendapatkan nasihat daripada doktor mereka mengenai implan berkenaan.
Syarikat Perancis, PIP adalah pengeluar implan silikon ketiga terbesar di dunia yang menjual produknya kepada berpuluh ribu wanita di lebih 65 negara dan rantau terutama Amerika Selatan dan Eropah Barat.

Syarikat itu didapati menggunakan silikon dalam implan mereka dengan bahan yang tidak dibenarkan yang menyebabkan kadar kebocoran yang tinggi bagi implan berkenaan. Selepas itu, produk berkenaan diharamkan dan syarikat terbabit muflis pada 2010.

Kerajaan Amerika Syarikat pernah meningkatkan amaran waspada membabitkan syarikat itu pada 2000. – Agensi

'via Blog this'

Pengantin dipaksa jadi pelacur

Berita Harian Online | Pengantin dipaksa jadi pelacur: SAHAR (tengah) bercakap dengan Menteri Hal Ehwal Wanita Afghanistan, Husn Banu Ghazanfar (kanan) ketika menerima rawatan di sebuah hospital  di Kabul semalam.
SAHAR (tengah) bercakap dengan Menteri Hal Ehwal Wanita Afghanistan, Husn Banu Ghazanfar (kanan) ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Kabul semalam.
Polis selamatkan Sahar Gul selepas jiran dengar jeritan meminta tolong

KABUL: Seorang remaja berusia 15 tahun diseksa dengan teruk selain dikunci di dalam tandas oleh keluarga suaminya beberapa bulan lalu selepas enggan menjadi pelacur, kata pihak berkuasa semalam.

Sahar Gul berada dalam keadaan kritikal ketika diselamatkan daripada sebuah rumah di wilayah utara Baghlan minggu lalu, selepas jiran melaporkan mendengar tangisan Sahar yang merintih kesakitan.
Polis Baghlan berkata, keluarga mentua Sahar mencabut kuku dan rambutnya serta menguncinya di bilik air bawah tanah yang gelap kira-kira lima bulan, tanpa memberi makanan dan air yang mencukupi.
“Keluarga suaminya turut menderanya dengan mencucuh api rokok dan menggunakan playar untuk merobek dagingnya.

“Mangsa berkahwin tujuh bulan lalu dan berasal dari wilayah Badakhshan. Keluarga mentua cuba memaksanya melacur untuk mendapatkan wang,” kata Ketua Hal Ehwal Wanita di Baghland Rahima Zarifi kepada Reuters.

Walaupun sukar bercakap, Gul berupaya memberitahu media mengenai pengalaman ngeri yang dilaluinya selama dikurung keluarga mentua.

“Selama beberapa bulan saya dikurung dalam tandas oleh keluarga mentua terutama ibu mentua saya,” katanya.
Gul ditemui dengan keadaan tubuhnya dipenuhi parut dan lebam manakala sebelah mata masih bengkak dan tertutup enam hari selepas diselamatkan.

Menurut doktor, mangsa dirawat di sebuah hospital kerajaan di sini, namun dia mungkin terpaksa dihantar ke India.

“Ini adalah satu daripada kes terburuk keganasan yang berlaku ke atas wanita Afghan.

“Penjenayah perlu dihukum supaya yang lain dapat belajar daripada kesilapan,” kata Menteri kesihatan Suraya Dalil kepada media selepas melawat Gul bersama menteri hal ehwal wanita.

Seorang pegawai polis kanan di Baghlan Mohammad Zia, yang membantu menyelamatkan gadis itu berkata ibu mentua dan kakak iparnya sudah ditahan bagaimanapun suami dan bapa mentuanya melarikan diri.

“Kami sudah melancarka usaha untuk menangkap suami dan pihak lain yang terbabit,” kata Zia. – Reuters/Agensi.

'via Blog this'

Presiden Nigeria isytihar darurat

Berita Harian Online | Presiden Nigeria isytihar darurat:




2012/01/02

ABUJA: Presiden Nigeria Goodluck Jonathan kelmarin mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas teruk akibat keganasan dipersalahkan ke atas mazhab Boko Haram dan mengarahkan penutupan sebahagian sempadan negara itu.

Beliau mengumumkan langkah itu selepas menggelar Boko Haram sebuah badan ‘barah’ yang bakal memusnahkan negara paling padat di Afrika itu dan berazam bahawa kumpulan itu akan dihancurkan.
“Ketika pencarian bagi penyelesaian muktamad semakin berterusan, adalah penting untuk mengambil langkah perlu bagi memulihkan keadaan dalam negara terutama di kalangan masyarakat yang terjejas,” kata Jonathan dalam ucapan di seluruh negara.
“Oleh yang demikian, saya mengisytiharkan perintah darurat di beberapa bahagian persekutuan,” katanya, menyenaraikan Borno, di mana Boko Haram secara tradisi mempunyai pangkalan selain Yobe, Niger dan Plateau.

Beliau juga mengarahkan penutupan sempadan tanah di kawasan terjejas bagi mengawal ‘aktiviti pengganas merentasi sempadan.’

Lewat kelmarin sekurang-kurangnya 50 orang maut dalam pertembungan antara dua masyarakat berjiran di tenggara Nigeria di Ebonyi, kata jurucakap kerajaan, namun pertembungan itu tidak dikaitkan dengan serangan oleh Boko Haram, beliau menambah.

“Di kawasan itu 50 orang terbunuh apabila sekumpulan penduduk dari masyarakat Ezza menyerang penduduk berjiran Ezilo berhubung pertelingkahan tanah,” kata Onyekachi Eni kepada AFP.
“Pertelingkahan antara dua anggota masyarakat yang bermula pada 2008, dipercayai sudah diselesaikan sehingga perbalahan terbaru. Sekumpulan penduduk dari Ezza menceroboh ke dalam Ezilo dan menyerang mereka, membunuh lebih 50 orang di sana,” katanya.

Jonathan berkata perintah darurat adalah penting: “Ketika pengganas mengambil peluang situasi sekarang untuk menyerang sasaran di Nigeria dan melakukan perkara di luar jangkauan kakitangan penguat kuasa undang-undang.” – AFP

'via Blog this'

Saleh mungkir janji sekali lagi

Berita Harian Online | Saleh mungkir janji sekali lagi: SEORANG penunjuk perasaan wanita secara simbolik menunjukkan poster Saleh dengan tulisan bermaksud gantung di Yaman, semalam.
SEORANG penunjuk perasaan wanita secara simbolik menunjukkan poster Saleh dengan tulisan bermaksud gantung di Yaman, semalam.
Presiden Yaman buat keputusan terus tinggal untuk selamatkan rejim

SANAA: Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh yang sepatutnya berundur membuat keputusan untuk terus tinggal di negaranya, memungkiri persetujuannya untuk meletak jawatan kata parti pemerintahnya, sebagai cubaan untuk menyelamatkan rejimnya yang mencetuskan pemberontakan dan protes jalanan.

Sebagai isyarat tindak balas, anak lelaki dan anak saudara presiden itu melancarkan tindakan keras terhadap pembangkang yang disyaki di kalangan perkhidmatan keselamatan elit, kata pegawai dalam perkhidmatan.
Pasukan Pengawal Republik yang diketuai anak lelakinya Ahmed Ali Salleh dan Perkhidmatan Keselamatan Pusat yang diketuai anak saudara beliau sudah menjadi pasukan utama dalam usaha menghalang kebangkitan menentang pemerintahan Saleh tahun lalu.
Ratusan ribu rakyat Yaman berarak di jalan Sanaa dan bandar lain kelmarin, menuntut supaya Saleh dihadapkan ke muka pengadilan berikutan kematian penunjuk perasaan dalam tindakan keras sejak Februari.

“Kami tidak akan benarkan mereka terlepas,” laung penunjuk perasaan sambil memegang poster presiden dengan tali gantung di sekeliling lehernya.

Saleh menandatangani perjanjian peralihan kuasa awal November yang membolehkan beliau mengurangkan kuasanya selepas 33 tahun memerintah dengan harapan untuk menenangkan kegawatan yang menggegarkan negara Arab itu sejak berbulan.

Dengan persetujuannya, Saleh menyerahkan kesemua kuasanya kepada naib presiden dan berikrar akan berundur secara rasmi selepas parlimen meluluskan imunitinya daripada didakwa.
Bagaimanapun pembangkang berkata beliau terus cuba mengekalkan pengaruhnya menerusi penyokong setia dalam parti pemerintahannya dan menerusi pasukan keselamatan yang diketuai keluarganya.

Partinya, Parti Kongres Rakyat masih dianggap berkuasa sebagai sebahagian daripada perkongsian kuasa kerajaan dengan pembangkang dan kritik berkata ia cuba melemahkan Naib Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.

Sementara itu, tunjuk perasaan berterusan selepas penganjur menolak kehendak Saleh kerana peruntukan memberikan pemimpin itu imuniti. – AP

'via Blog this'

Makanan ringan berbahaya

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 2 Jan. - Kajian terbaru mendapati makanan ringan bukan sahaja merosakkan gigi dan menambah berat badan tetapi ia turut merosakkan otak.

Ini berikutan bahan kimia lemak trans yang ditemui dalam makanan berminyak dan makanan yang diproses, menghantar isyarat bercampur serta merosakkan otak.

Keadaan itu menyebabkan keupayaan otak untuk mengawal selera makan berkurangan.

Penyelidik dari Universiti Sains dan Kesihatan Oregon, Gene Bowman berkata, pada dasarnya, dengan makan makanan ringan, otak lama-kelamaan semakin tidak berupaya dan tidak sedar apa yang telah dimakan dan membuatkan seseorang itu terus lapar dan makan.

‘‘Ia jelas lemak trans tidak baik untuk jantung dan otak,’’ katanya.

Kerosakan otak merupakan perkara terbaru dalam senarai masalah kesihatan yang berlaku ekoran pemakanan lemak trans atau lemak tidak tepu.

Walaupun, kajian Bowman agak terhad kepada responden di kalangan golongan berumur berkulit putih di Oregon, tetapi ia disokong oleh kajian-kajian sebelum ini yang mengutarakan perbezaan kesan makanan ringan yang sedap dan tidak sedap.

Restoran di New York dan Switzerland mengharamkan hidangan makanan yang mengandungi lemak trans. – AGENSI


'via Blog this'

Pemantau di Syria digesa berundur

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


DAMSYIK 2 Jan. - Sebuah badan penasihat Liga Arab, semalam menggesa pasukan pemantau pertubuhan tersebut diundurkan segera dari Syria kerana kehadiran mereka tidak membawa kesan bagi meredakan kempen kekerasan rejim Presiden Bashar al-Assad ke atas penunjuk perasaan.

Gesaan itu disuarakan ketika Liga Arab bersiap sedia untuk menghantar lebih ramai pemantau ke Syria, selepas penunjuk perasaan melangkah ke Tahun Baru dengan mengadakan demonstrasi dan seorang kanak-kanak dilaporkan menjadi mangsa pertama yang terbunuh pada 2012.

Speaker Parlimen Liga Arab, Salem al-Diqbassi menggesa ketua Liga Arab, Nabil al-Arabi 'segera mengundurkan pasukan pemantau Arab memandangkan rejim Syria terus membunuh penduduk awam'.

Parlimen Arab ialah sebuah jawatankuasa penasihat yang dianggotai oleh 88 ahli Parlimen daripada 22 negara anggota Liga Arab.

"Tindakan Damsyik jelas mencabul protokol Liga Arab yang bertujuan untuk melindungi rakyat Syria.

"Kita menyaksikan keganasan meningkat, lebih ramai penduduk termasuk kanak-kanak terbunuh...dan semua ini berlaku dengan kehadiran pemantau dari Liga Arab, sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk Arab," kata Diqbassi.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika Liga Arab bersiap sedia untuk menghantar pasukan pemantau baru ke Syria pada Khamis ini. - AFP

"Kira-kira 20 lagi pemerhati, dari Arab Saudi, Bahrain dan Tunisia, akan dihantar ke Damsyik," kata ketua operasi Liga Arab di Syria, Adnan al-Khodeir.

Seramai 50 pemerhati tiba di Syria pada Isnin lepas di bawah perjanjian Liga Arab dengan Damsyik, yang menuntut tentera Syria berundur dari bandar-bandar dan kawasan kediaman, keganasan ke atas orang awam dihentikan dan tahanan dibebaskan.

Pemantau Liga Arab itu melawat beberapa kawasan 'panas', semalam, sementara kontroversi timbul selepas seorang pemantau menuduh pihak berkuasa Syria menempatkan pasukan penembak curi di atas bumbung bangunan dan menuntut mereka diundurkan. - AFP


'via Blog this'

Hotel ais ada tiga bilik di Belanda



DUA pengunjung duduk di dalam sebuah hotel ais di bandar Zwolle, Belanda pada 15 Disember lalu.


ZWOLLE, Belanda - Sebuah hotel ais menawarkan harga untuk satu malam sebanyak penginapan AS$259 (RM821) termasuk sarapan pagi bermula pada 3 Disember hingga 29 Januari ini.

Hotel itu dilengkapi dengan jubah mandi, dua pasang selipar, sebuah katil dan bar mini.

Suhu hotel itu adalah di antara enam hingga lapan darjah Celcius.

Seorang pengunjung, Van Heijst berkata, dia memakai tiga pasang seluar semasa berada di dalam bilik hotel tersebut.

"Ia merupakan satu pengalaman yang menarik tetapi pastinya hanya untuk satu malam sahaja," katanya. - AFPKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Mission: Impossible Ghost Protocol kekal hebat



TOM CRUISE berlakon dalam salah satu adegan dalam filem Mission: Impossible - Ghost Protocol.


LOS ANGELES - Filem lakonan Tom Cruise, Mission: Impossible - Ghost Protocol menguasai juara carta box-office Amerika Utara buat minggu kedua berturut-turut dengan kutipan tiket dianggarkan berjumlah AS$30 juta (RM95.10 juta).

Menurut agensi pemantau kutipan tiket, Exhibitor Relations, filem aksi itu setakat ini telah memperoleh kutipan tiket berjumlah AS$133 juta (RM421.61 juta).

berada di tempat kedua ialah filem Sherlock Holmes: A Game of Shadows yang menceritakan tentang detektif dengan kutipan sebanyak AS$22.1 juta (RM70 juta) selepas tiga minggu ditayangkan.

Filem animasi Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked berada di tempat ketiga dengan kutipan tiket sebanyak AS$18.3 juta (RM58 juta).

Menduduki tangga keempat ialah filem War House arahan Steven Spielberg dengan anggaran kutipan tiket ialah AS$16.9 juta (RM53.57 juta).

Filem lakonan Dainel Craig dan Rooney Mara berjudul The Girl with the Dragon Tattoo menduduki tangga kelima dengan kutipan tiket sebanyak AS$16.3 juta (RM51.67 juta).

Berada di tangga keenam ialah filem We Bought A Zoo lakonan Matt Damon dengan kutipan tiket sebanyak AS$14.3 juta (RM45.33 juta) diikuti filem New Year's Eve yang mendapat kutipan sebanyak AS$6.7 juta (RM21.23 juta) dan The Darkest Hour berada di tangga kesembilan dengan kutipan sebanyak AS$$4.3 juta (RM13.63 juta).

Filem The Descendants lakonan George Clooney mendudukti tempat terakhir dengan kutipan sebanyak AS$3.7 juta (RM11.72 juta). - AFPKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'